Khamis, 7 Disember 2017

Usul Sosial Dan Budaya Dalam Penubuhan Universiti Pidato Agong Nusantara (UPAGENG) melalui penglibatan human capital Akademi Motivator Profesional Malaysia dan rasionalnya.

Usul Sosial Dan Budaya Dalam Penubuhan 
Universiti Pidato Agong Nusantara (UPAGENG) 
melalui penglibatan human capital 
Akademi Motivator Profesional Malaysia 
dan rasionalnya.

Oleh

MOHD HAFDZI BIN ABDUL RASHID
Kumplan: GGAMPro, No. Matriks: 12310

Yang saya muliakan YM Guru Prof. Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof dan rakan-rakan Akademi Motivator Profesional Malaysia yang saya kagumi dan hormati sekalian. Assalamualaikumwarohmatullahiwalbarokatuh.

 “Kalau tidak kerna bulan, Tidak bintang terbit tinggi; 
                             dan kalau tidak kerana saudara saudari sekalian, Tidak saya hadir disini”.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Tujuan saya di sini adalah semata-mata untuk menjawab soalan kerja kursus ringkas yang telah diamanahkan oleh YM Guru kita semasa kuliah KPP pada hari Rabu yang lalu yakni pada tanggal 6 Disember 2017 berkaitan dengan soalan, “Apakah Peranan Akademi Motivator Profesional Malaysia dalam mengusulkan modal insan bangsa yang mampu membina sebuah ketamadunan berasaskan seni komunikasi dan pemasaran.”  dan “Peranan Akademi Motivator Profesional Malaysia dalam membangunkan tamadun keilmuan dan perekonomian bercirikan ala ke-Malaysia-an dan rasionalnya ia dilakukan sekarang dibandingkan peradaban luar yang telah bertambah dewasa ini.” Untuk makluman adalah terlalu berat soalan ini jika diukur dengan kemampuan dan ilmu yang ada pada saya namun begitu saya akan cuba untuk menjawab soalan yang di bawah topik dan bidang yang saya fahami sahaja. Bagi memenuhi hasrat itu, saya akan akan melangkau soalan satu(1) dan dua (2) kerana kita sebagai warga Akademi Motivator Profesional Malaysia sudah pasti faham akan peranan dan tanggungjawab kita sebagai human kapital yang berkemampuan untuk membangunkan tamadun bangsa Melayu Nusantara kita berasaskan seni ekonomi dan pemasaran beracuankan Modul Pidato-Motivasi-Usahawan yang berpaksikan Saikosan yang telah diterapkan di kuliah KPP kita sepanjang tahun. Saya akan terus menjawab soalan ke-dua (2) yang mengkhususkan kepada Usul 3: Sosial Dan Budaya.
     
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Sosial dan Budaya merupakan tunjang kepada identiti bangsa dan kekuatan sesebuah tamaddun itu sendiri. Tanpa sosial dan budaya kekukuhan identiti bangsa itu akan kucar-kacir berselerak tanpa pegangan dan wawasan. Selama ini, semenjak perkembangan awal sejarah perkembangan ketamadunan tanah melayu semenjak dari era Zaman Kesultanan Malayu Melaka, Sosial dan budaya masyarakat di Malaysia amnya telah berasimilasi melalui interaksi sosial dan budaya pelbagai kaum yang telah menduduki tanah melayu sejak seawal penubuhannya dan perkembangannya. Sosial dan budaya  merupakan cara hidup yang diamalkan yang merangkumi aspek cara hidup, amalan, kepercayaan, muzik, tarian , agama, makanan, pakaian, pertuturan, bahasa, sistem penulisan, perkembangan teknologi, ekonomi dan sebagainya yang merangkumi di dalam kehidupan seharian kita. Dewasa ini seiring dengan pembangunan teknologi dan keterbukaan dalam perkongsian maklumat secara atas talian yang global, asimilasi budaya ini didorong dan disokong oleh kemudahan teknologi yang mampu memaparkan sosio-kebudayaan yang trending dari luar baik dari serantau mahupun dari barat. Hasil dari keterbukaan ini telah menjerumus kepada kewujudan sub-budaya (sub-Culture) yang menular di kalangan remaja dan belia negara kita. Perkembangan dan pertembungan sosial dan budaya ini terbahagi kepada dua antara satu garis pemisah samaada ianya baik atau buruk bagi perkembangan tamadun bangsa kita khususnya bangsa Melayu nusantara. Ancamannya bukan dari aspek ini sahaja, malah wujud ancaman baru dimana sosial dan budaya luar yang dibawa oleh pendatang asing yang bertapak di negara kita secara fizikal samada kemasukkan mereka sebagai buruh untuk bekerja mahupun mangsa-manga pelarian negara bergolak yang ditempatkan oleh badan antarabangsa. Ancaman ini dapat ditangkis jika kita sebagai bangsa Melayu Nusantara bersatu hati mendokong visi dan misi serta ideologi yang diperjuangkan oleh YM Guru kita, Prof. Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Oleh sebab itu, saya terpanggil untuk membangkitkan usul sosial dan budaya di dalam Akademi Motivator Profesional Malaysia melalui aspirasi dan matlamat murni  YM Guru kita di dalam penubuhuan sebuah Universiti yang lain dari yang lain dengan acuan kita sendiri demi pembangunan tamadun Melayu nusantara ini melalui Universiti Pidato Agong Nusantara (UPAGENG). 

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Apabila wujudnya UPAGENG nanti, makan ianya bukanlah sebuah calang-calang Universiti. Ia merupakan sebuah Research University di mana ianya merupakan pusat berkumpulnya segala cendiakawan dan cerdik pandai dari alam melayu nusantara yang mahir dan pakar dalam bidang masing-masing.  UPAGENG akan memiliki fakulti Sosial Dan Budayanya sendiri di mana di situ berlakunya pembangunan dan pemuliharaan kebudayaan Melayu nusantara akan dipraktikkan, didokumentasikan dan dikajiselidik untuk di-reconstuctionismkan bagi rujukan generasi kini dan generasi akan datang.

Melalui pusat Sosial dan Kebudayaan di bawah fakulti Sosial dan Budaya UPAGENG aktiviti sosial dan budaya Melayu nusantara itu akan dihidupkan melalui:- 

(1) Pemuliharaan bahasa dan sistem penulisan bangsa Melayu nusantara.
(2) Amalan dan adat resam bangsa Melayu nusantara.
(3) Busana dan etika pemakaian bangsa Melayu nusantara.
(4) Aktiviti sukan dan permainan bangsa Melayu nusantara.
(5) Pemulihan fizikal dan mental melalui kaedah perubatan dan amalan kesihatan Melayu nusantara.
(6) Senibina dan seni pertukangan Melayu nusantara.
(7) Aktiviti pertanian dan perladangan Melayu nusantara.
(8) Maritim.
(9) Kesenian Melayu Nusantara. 
(10) Menyelasaskan semua yang di atas berpaksikan Sunnah, Al-Quran Dan Hadith berpaksikan Saikosan.

10 USUL SOSIAL DAN BUDAYA UNIVERSITI PIDATO AGENG NUSANTARA

(1) Pemuliharaan bahasa dan sistem penulisan bangsa melayu nusantara.

Seperti yang telah kita sedia maklum penguasaan bahasa Melayu pada tahap optimum oleh dikalangan Melayu sendiri amat mendukacitakan. Ini terbukti dengan keputusan peperiksaan yang merosot oleh kalangan pelajar yang rata-rata bumiputra melayu sendiri dalam matapelajaran bahasa melayu SPM dan PT3. Melalui fakulti Sosial dan budaya UPAGENG, Bahasa Melayu akan digunakan secara total dan sistem tulisan melayu dipulihara menerusi pembudayaan sistem tulisan Jawi dan Rumi di dalam persuratan Melayu. Hal ini bukan suatu perkara baru kerana negara jepun telah membuktikan yang mereka boleh menjadi maju dengan dengan sistem tulisan dan bahasa mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada bahasa asing seperti inggeris khususnya. Mereka mengadaptasi sistem tulisan cina dalam sistem tulisan mereka kepada kanji, dan katagana serta hiragana. Hal ini amat penting kerana ada pepatah melayu yang menyatakan bahasa menunjukkan bangsa itu. Sebuah bangsa yang mempunyai tamadun yang kuat haruslah disokong oleh sistem tulisan dan bahasa yang utuh. Amat ironi sekali apabila kita melihat bangsa melayu kita yang apabila muncul di kaca telivisyen atau di corong radio menggunakan bahasa melayu yang amat buruk dan disulami bahasa inggeris yang salah nahunya walaupun mereka itu terdiri dari tohoh yang cerdik pandai. Hal ini amat memalukan dan mencerminkan tahap intelektualiti dan jatidiri sesebuah bangsa itu dan ia wajib dibanteras kerana Agungnya dan Melayunya kita terletak pada bahasa kita yang asli ,indah dan halus. Penggunaan bahasa Melayu dan sistem penulisan melayu secara 100% akan dikuatkuasakan melalui bahan rujukan, folkslore alam melayu nusantara, buku-buku, bahan cetak, majalah, risalah, papan iklan, kandungan atas talian serta bahasa pengantar di dalam kuliah secara formal mahupun interaksi secara tidak formal dikalangan warga UPAGENG.

(2) Amalan dan adat resam bangsa Melayu nusantara.

Alam melayu amat kaya dengan adat resam namun begitu apabila zaman berganti zaman dan tahun berganti tahun ada adat yang telah luput dan tidak diamalkan lagi. Adalah tanggungjawab besar kepada kita selaku warga Akademi Motivator Profesional Malaysia untuk memelihara dan memulihara kebudayaan ini. Adat resam dan amalan nenek moyang kita yang tidak bercanggah dengan hukum alquran dan al-sunnah wajib dipelihara dan diamalkan secara menyeluruh di dalam UPAGENG nanti. Sebagai contoh, dalam amalan dan adat resam melayu di dalam adat istiadat walimatul urus dan risik dilakukan dengan penuh adat dan santun melalui untaian kata-kata pantun yang indah indah. Namun begitu hal ini pada zaman sekarang hanya berlaku kepada sesetengah daerah sahaja dan tidak diamalkan secara menyeluruh. Dan cara persandingan mempelai yang berorientasikan budaya barat pula telah menular di kalangan melayu kita, baik dari segi tatacara susunan majlis, busana, dan jenis pelamin yang digunakan ianya telah melenyapkan identiti bangsa melayu kita sendiri yang kaya dan indah. Hal ini tidak berlaku dalam istiadat persandingan sahaja, ia perlu dikaji secara menyeluruh terhadap adat istiadat lain yang masih diamalkan secara minimal di dalam alam melayu kita dewasa ini.

(3) Busana dan etika pemakaian bangsa Melayu nusantara.

Melalui fakulti Sosial dan Budaya UPAGENG, kod pakaian rasmi yang mencerminkan kemelayuan nusantara haruslah dititikberatkan. Ini mendokong kepada artikel 160 Perlembangaan Malaysia bagaimana seseorang Melayu itu harus tampil baik segi dalaman dan luaran. Fakulti Sosial dan Budaya UPAGENG akan berpegang kepada prinsip ini mengamalkan kod pakaian dan etika pemakaian busana dalam alam  Melayu dalam setiap urusan rasmi. Busana dan etika pakaian ini boleh membangkitkan semangat dan jatidiri kita sebagai bangsa melayu yang kaya melalui sumber budaya dan identiti yang tersendiri. Perkara ini dewasa ini telah menjadi trend semula di kalangan remaja dan belia apabila wujud NGO dan Aktivis dari pusat kebudayaan Universiti tempatan yang menghidupkan kembali amalan pemakaian busana melayu dan mendalami etika pemakaian sesebuah busasa berlandaskan taraf status sosial dan budaya masyarakat melayu itu sendiri. Perkara ini harus disokong oleh UPAGENG dan diamalkan di dalam setiap fakulti yang akan wujud di dalam UPAGENG nanti.

(4) Aktiviti sukan dan permainan tradisi bangsa Melayu nusantara.

Bagi mengekalkan mental yang sihat secara holistik berpaksikan konsep menjaro yang diterapkan Akademi Motivator Profesional Malaysia, ia perlulah disokong oleh aktiviti riadah bagi menjamin kecerdasan fizikal dan dan mental para warga UPAGENG. Bagi menghidupkan identiti bangsa melayu nusantara, aktiviti sukan dan permainan tradisional di alam Melayu akan diwujudkan sebagai aktiviti riadah bagi warga Akademi Motivator Profesional Malaysia. Gelanggang-gelanggang rakyat bagi sukan dan permainan tradisional seperti gasing, wau, guli, sepak raga, congkak dan sebagainya akan di tubuhkankan di bawah pusat sukan dan rekreasi fakulti dan gelanggang bagi aktiviti silat, memanah dan sukan berkuda juga akan diwujudkan bagi memenuhi hasrat itu. Sukan dan permainan tradisional merupakan satu amalan yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita turun temurun sebagai satu aktiviti yang boleh membina ukhwah dan membina kesihatan mental, rohani dan jasmani kita sebagai bangsa Melayu nusantara. Menuntut kepada perkembangan teknologi, satu unit R&D khas dalam pembagunan Applikasi Android dan Permainan Video Interaktif juga akan diwujudkan bagi memperkenalkan sukan dan permainan Melayu tradisional ke mata dunia. Perkara ini perlu ditekankan supaya bangsa Melayu kita tidak tertinggal dari segi perkembangan teknologi applikasi atas talian dan pembangunan permainan video e-Sports yang kian berkembang di Malaysia dewasa ini.

(5) Pemulihan fizikal dan mental melalui kaedah perubatan dan amalan kesihatan Melayu nusantara.

Alam perubatan melayu amat luas diamalkan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu kala dengan mengamalkan method tradisi yang menggunakan doa’-doa’ syifa dan mantera jampi berlandaskan islam menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan selawat ke atas Nabi serta kepercayaan kita kepada malaikat pelindung yang disokong oleh penggunaan tumbuhan herba dan amalan pemakanan sunah yang diamalkan oleh nenek moyang melayu. Hal ini dapat mengelakkan dan mengurangkan kebergantungan kita terhadap method perubatan cara moden yang kebiasaannya bergantung kepada ubat-ubatan sintetik yang terdiri daripada dadah jenis buatan yang boleh membahayakan lagi organ dalaman dan tubuh badan kita. Melalui kaedah dan method tradisi ini ianya akan mengurangkan kos import dan kebergantungan kita terhadap perubatan jenis moden yang mahal lagi memudaratkan. Melalui amalan ini, saya yakin bangsa melayu akan lebih kuat dari segi mental, rohani dan jasmaninya tanpa perlu bergantung pada ubat-ubatan buatan dari negara luar khususnya jenis dadah buatan dan panacilin yang diexport oleh negara dunia pertama untuk digunakan secara meluas oleh pihak negara ke tiga. Secara tidak langsung ekonomi negara melalui method perubatan kaedah tradisi boleh dieksport ke luar disebalik mengimport ubatan dari luar. Bumi kita kaya dengan sumber yang masih belum diteroka dan sumber yang perlu dipulihara. 

(6) Senibina dan senipertukangan Melayu nusantara.

Bangsa melayu kaya dengan dengan senibinanya dan seni pertukangannya. Adalah tanggungjawab UPAGENG bagi memulihara dan memelihara seni petukangan Melayu dan senibina melayu nusantara kita. Di dalam UPAGENG akan diwujudkan perkampungan yang akan memuatkan segala pandai-kayu dan pandai besi yang akan berkhidmat sebagai tenaga pengajar dan sumber rujukan kepada luar dan dalam negara berkaitan senibina dan pertukangan alam Melayu. Ini melibatkan kemahiran tukang-tukang kayu dan pandai besi kita yang mahir dalam pembinaan kapal layar dan jong serta perahu kaedah tradisional, rumah melayu lama, senjata melayu lama, alat hiasan melayu dan aksesori pakaian, seni tekat dan tenun dan seni tanah liat yang berkait rapat dalam seni bina dan kraftangan bangsa melayu nusantara itu sendiri. Masih terdapat beberapa lagi golongan tukang kayu dan tukang besi yang mahir di dalam negara kita yang berada di sekitar pantai timur (Terengganu dan Kelantan) yang kita perlu angkat dan dibela supaya kemahiran mereka dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

(7) Aktiviti pertanian dan perladangan Melayu nusantara.

Berbalik kepada asas dan sirah nabi junjungan kita, amalan perternakan merupakan satu sunnah bagi menjana ekonomi dan membekalkan makanan yang sihat dan tanpa diragu halalnya. Melalui UPAGENG akan diwujudkan program khas dimana UPAGENG akan menghasilkan makanan melalui hasil perternakan sendiri dan tanaman sendiri. Makanan dan ternakan ini diwujudkan sebagai satu produk untuk pemasaran dari hasil pertanian dan perladangan yang organik dan bebas racun perosak bagi kegunaan warga UPAGENG sendiri dan diekport ke luar untuk menjana ekonomi UPAGENG dan warga Akademi Motivator Profesional Malaysia. Melalui Unit Perladangan dan Pertanian UPAGENG di bawah Fakulti Sosial Dan Budaya, R&D dalam bidang perternakan dan pertanian dihasilkan merangkumi makanan ruji penduduk melayu yang berteraskan beras, daging, ikan dan sayur-sayuran serta dusun-dusun buah-buahan dusun yang akan wujud di seluruh tanah UPAGENG.

(8) Maritim.
Selaras dengan perkembangan tamadun bangsa Melayu nusantara kita, aktiviti laut amat sinonim dengan bangsa melayu kita. Laksamana Hang Tuah yang terkenal dalam sejarah melayu kita sendiri merupakan seorang Panglima Angkatan Laut yang hebat yang mahir dalam ilmu pelayaran dan peperangan laut. Selain tokoh Laksamana Hang Tuah, kita juga ada tokoh-tokoh lain seperti Panglima Awang yang telah berjaya mengelilingi dunia melalui pelayarannya bersama tentera eropah. Oleh yang demikian adalah wajar jika diwujudkan satu pusat maritim khas yang mengkaji dan menghidupkan semula aktiviti maritim di kalangan bangsa melayu kita supaya kita berbalik kepada akar kita sebagai satu bangsa maritim yang sejati.

(9) Kesenian Melayu Nusantara. 

Kesenian kontempori seperti seni muzik, seni teater dan filem dari barat telah menular di dalam masyarakat melayu kita selaras dengan perkembangan teknologi dan penjajahan ideologi bentuk moden melalui agenda yahudi Food Fun and Fashion. Hal ini menyebabkan kesenian tradisional melayu nusantara menjadi semakin terpencil dan kurang diminati. Melalui penubuhan UPAGENG, adalah tugas dan tanggungjawab kita sebagai warga Akademi Motivator Profesional Malaysia dan UPAGENG bagi menghidupkan kesenian tradisi nenek moyang kita yang terdiri dari tarian, muzik dan seni lakon serta seni persembahan melayu lama. Dewasa ini generasi muda kurang mengenali Makyung, Wayang Kulit, Randai, Jikey, Dikir Barat, Mek Mulong, Menora, Hadrah dan sebagainya. Generasi melayu moden juga kurang meminati irama ghazal,  gamelan, joget, inang, nobat istana dan alat-lat muzik tradisional melayu seumpamanya. Generasi baru juga tidak kenal akan seni Wayang Kulit yang digunakan oleh keturunan wali-wali songo di dalam menyebarkan syiar islamian di nusantara pada zaman perkembangan islam di tanah malayu pada suatu ketika dahulu. Di bawah Fakulti Sosial Budaya UPAGENG melalui unit keseniannya, UPAGENG akan menghidupkan semula  kesenian yang sudah kurang diminati ini sebagai khazanah yang perlu dihidupkan semula dan dipelihara untuk generasi yang akan datang. Perkara ini akan dijadikan satu program wajib di dalam apa-apa program rasmi di dalam UPAGENG secara menyeluruh. Ia juga akan dijadikan sebagai satu produk cultural-art tourism bagi menarik pengkaji luar untuk ke negara kita. Sekaligus ia bertindak sebagai serampang dua mata dalam menjana ekonomi dan masa yang sama menghidupkan kebudayaan yang telah kian luput.

(10) Menyelaraskan semua yang di atas berpaksikan Sunnah, Al-Quran Dan Hadith berpaksikan Psikologi Pembagunan Insan.

Perlaksanaan kesemua sembilan (9) usul di atas tidak akan lengkap jika ia tidak berpaksikan Al-Quran dan Hadith dengan menerapkan Saikosan yang dipaksikan  Akademi Motivator Profesional Malaysia. Penyelarasan ini wajib dilaksanakan supaya wujudnya garis panduan khas yang tidak membelakangkan agama dalam segala aktiviti yang akan wujud melalui usul ini. Ia juga sebagai menghormati norma-norma melayu di dalam perlembaagaan melayu di mana melayu itu mestilah beragama Islam dan mengamalkan adat budaya  melayu dan betutur dalam bahasa Melayu. 

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Demikian tadi, Usul Sepuluh (10): bagi perkara 3: Usul Sosial dan Budaya  dari saya dalam usul penubuhan UPAGENG yang perlu kita bincangkan dan lanjutkan bagi kesejahteraan dan menetapkan visi dan misi kita di dalam pembentukan Tamadun Melayu Yang Lebih Agung Di Nusantara ini nanti. Usul Sosial Dan Budaya ini akan disokong dan menyokong Usul Ekonomi dan  Usul Pendidikan yang saya tidak bincangkan di sini. Ini kerana Ekonomi dan Pendidikan akan bertindakbalas kepada Usul Sosial Ekonomi ini melalui perlaksanaan yang menyeluruh. Semoga melalui usul sepuluh ini kita dapat memartabatkan minda intelek, melestarikan minda usahawan dan memperkasakan ukhwah nusantara. Akhir kata dari saya:

“ Pak Ali pergi memancing ikan, Tapi terlupa membawa umpan;
                                               Yang baik dijadikan tauladan; dan buruk dijadikan sempadan. ”

Jumpa anda di puncak jaya, jaya dunia, jaya akhirat. Assalamualaikumwarahmatullahiwalbarokatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan